New born..

By XimdaX on 1:04 AM

Filed Under:

Assalamualaikum dan salam sejahtera, entry kali ni takdak kena mengena dengan photography tapi sebagai penghargaan kepada seorang isteri. Entri kali ini saya nak berkongsi pengalaman yang baru saya lalui dengan kengkawan semua.

Kisah bermula pada hari Jumaat bersamaan 12/03/2010 lebih kuran jam 11:00 pagi. Sebelum tu saya baring dan terus terlelap. Tiba² saya dikejutkan oleh isteri, saya pun membuka mata dan isteri memberitahu kepada saya yang dia dah turun air. Lalu dengan pantasnya saya bangun dan segera menyuruh isteri bersiap untuk dibawa ke Hospital Seberang Jaya.

Apabila tiba di hospital, saya terus memandu ke bahagian kecemasan. Saya dan isteri ke kaunter di bahagian kecemasan dan terdapat 2 orang sedang berbual. Saya memberitahu bahawa isteri saya turun air. Mereka hanya bertanya berapa minggu? lalu isteri menjawab 40 minggu 1 hari. Kelihatan mereka agak terkejut dan mereka hanya memberitahu "ok, kak jalan masuk ikut tepi ni pastu naik atas terus masuk dewan bersalin" dan saya disuruh ubah kereta ke kawasan parking pelawat. Fikirkan!!!

Setibanya saya di dewan bersalin lebih kurang jam 12.00 tgh hari dan saya terus menuju ke kaunter (jauh jugak la saya berjalan dari emergency ke dewan bersalin). Saya bertanyakan kabar isteri saya dan mereka memberitahu yang isteri saya telah pun masuk ke dalam dewan bersalin untuk pemeriksaan dan saya disuruh ke kaunter 5A untuk tujuan pendaftaran. Selepas mendaftar, sekeping borang yang ditampal dengan sticker diberikan kepada saya untuk diserahkan kepada kaunter dewan bersalin. Selepas menyerahkan borang tadi, saya diarahkan untuk tunggu di luar dan nanti apa² kami bagi tau.

Satu jam berlalu dan tiada sebarang khabar berkenaan isteri saya di dalam dewan bersalin. Perasaan cemas dan berbagai persoalan bermain di fikiran. Saya masuk semula ke kaunter dan bertanyakan khabar isteri saya. Mereka memberitahu isteri saya akan dibawa ke WAD 9. Saya sangkakan yang isteri saya sudah bersalin dan hendak dihantar ke WAD 9, tetapi dengan bersahaja seorang jururawat keluar dan bersama dengannya isteri saya dan seorang lagi bakal ibu yang akan dihantar ke WAD 9. Kami pun berjalan bersama² menuju ke WAD 9.

Di dalam perjalanan saya sempat berbual dengan isteri dan bertanyakan kenapa lama sangat. Isteri saya memberitahu yang dia telah dijamu makan tengah hari terlebih dahulu sebelum doktor melakukan pemeriksaan. Patut la saya rasa lapar... hehehe. Pemeriksaan doktor mendapati hanya baru 1 cm bukaan dan dirujukkan ke WAD terlebih dahulu.

Setibanya di WAD 9 jam menunjukkan 1:15p.m. Saya memberitahu isteri yang saya hendak menunaikan solat jumaat. Lalu saya meninggalkan isteri dalam keadaannya itu. Saya menuju ke masjid yang berdekatan. Setibanya di masjid, saya mengambil wudhu dan naik ke bahagian atas dimana saya fikirkan tak ramai orang. Setelah selesai solat, saya pun berdoa memohon keselamatan dan kesihatan isteri dan baby dalam mengharungi saat² getir yang akan dihadapi.

Sekembalinya di hospital saya membawa beg baby serta raga yang berisi termos dan barang keperluan isteri ke WAD 9. Isteri saya ditempatkan di 2nd class dan saya hanya sempat melawatnya seketika sahaja memandangkan saya masuk bukan pada waktu lawatan. Setelah bersua seketika dengan isteri saya pun ke kaunter 5A untuk menguruskan GL sebelum pulang ke rumah untuk mengecaj bateri handphone isteri yang kong.

Pada jam 5 petang, saya kembali semula ke hospital untuk melawat isteri. Kali ini isteri saya tiada di 2nd class dan telah ditukarkan ke 1st class kerana isteri saya tiada komplikasi. 2nd class diutamakan kepada ibu² hamil yang mempunyai komplikasi memandangkan tempat yang terhad serta 2nd class berdekatan dengan kaunter WAD 9. Di dalam bilik 1st class terdapat dua buah katil dan hanya isteri saya seorang sahaja yang ada ketika itu. Ketika sedang bertanya kabar dan berbual bersama isteri seorang doktor masuk membuat lawatan dan memberitahu status isteri saya. Bayi didalam kandungan isteri saya telah cukup matang dan jika lahir dia boleh bernafas normal tanpa sebarang bantuan alat pernafasan. Oleh kerana isteri saya telah turun air, doktor mencadangkan untuk induce(paksa) jika tidak bersalin sehingga esok pagi. Tujuannya adalah untuk menyelamatkan bayi dari terkena jangkitan atau lemas memandangkan selaput yang melindungi bayi telah pecah. Kami pun bersetuju dan menurunkan tandatangan pada borang yang dibawa bersamanya. Saya mula rasa cemas dan takut kerana isteri akan di induce. Isteri saya pernah menceritakan mengenai induce ini dan serba sedikit saya faham walaupun saya bukan dalam bidang medic. Saya juga pernah melihat keadaan ibu yang menjalani proses tersebut, bagaimana seksanya mereka menahan sakit yang teramat sangat. Ye la, kena paksa.. mesti la sakit kan.. Di fikiran mula terbayang keadaan isteri saya jika proses ini dilakukan keatasnya.. Tengok keadaan isteri orang pun saya rasa kesian inikan pulak isteri sendiri.. tak sanggup saya melihat derita yang ditanggung oleh isteri saya jika proses itu dilakukan keatasnya.. Jam menunjukkan 7:30 malam dan waktu melawat telah tamat.. Saya pun pulang semula kerumah dengan rasa berat hati meninggalkan isteri berseorangan didalam bilik 1st class itu. Sebelum pulang isteri bersalam dengan saya dan memohon ampun dan maaf atas segala kesalahannya, saya cukup terharu dengan perlakuannya itu dan rasa sedih mula menyelubungi diri saya.. Saya cuba pendamkan perasaan itu di hadapan isteri saya.

Jam 12:00 tebgah malam saya ada menghantar sms bertanyakan kabarnya. Dia memberitahu saya yang dia telah ada teman seperjuangannya di dalam bilik itu. Lega sikit hati saya kerana dia tidak lagi berseorangan. Ketika itu saya banyak memikirkan tentang apa yang diperkatakan oleh doktor pada sebelah petang tadi. Saya berasa cemas, takut dan tak tentu arah duduk berseorangan di rumah memandangkan isteri terlantar di hospital.

Jam 1:00 pagi 13/03/2010 isteri ada menghantar sms yang mengatakan beliau mula terasa sakit dan berulang².. Saya memberitahunya agar memberitahu jururawat yang ada di kaunter untuk melakukan pemeriksaan. Setelah pemeriksaan dilakukan, keadaanya masih sama dan masih 1cm bukaan.. saya bertambah gelisah apabila mendengar berita itu, apa yang saya takut mungkin akan berlaku jika isteri saya tidak bersalin pada pagi ini juga.. Saya banyakkan lagi berdoa kepada Allah agar dipermudah dan dipercepatkan isteri saya bersalin.. Saya ada juga meminta kepada rakan² di fesbuk dan YM untuk sama² mendoakan isteri saya dan bayi di dalam kandungannya. Saya cuba tenteramkan isteri saya dengan mengingat Allah dan banyakkan berzikir. Pada waktu ini saya tidak dapat lagi menahan kesedihan dan menitiskan air mata apabila dia berulang kali menghantar sms menggambarkan keperitan dan kesakitan yang dialaminya.

Saya terjaga dari tidur apabila terdengar bunyi telefon bimbit saya menyanyikan lagu Pagi Yang Gelap, kedengaran suara isteri dalam keadaan sakit memberitahu dia akan dibawa ke dewan bersalin memandangkan telah 5 cm bukaan. Ketika itu jam menunjukkan 6:15 pagi, saya lantas bangun, mandi dan menunaikan solat sebelum ke hospital untuk bersama dengan isteri.

Pada jam 7:15 pagi saya tiba di hospital dan terus ke dewan bersalin untuk bertanyakan kabar isteri saya. Nama isteri saya tertulis di white board dengan tanda belum bersalin. Saya bertanya kepada petugas di kaunter tersebut berapa lama lagi dan dia memberitahu "lambat lagi.. Encik tunggu di luar dulu.. kalau ada apa² nanti saya bagi tau.." Saya pun keluar dan menuju ke kantin untuk bersarapan. Sesudah itu, saya kembali semula ke dewan bersalin dan hanya menunggu di luar.. Setelah setengah jam di luar, saya masuk semula ke kaunter untuk bertanyakan keadaan isteri saya.. sebelum sempat saya bertanya saya terpandang pada nama isteri saya di white board dengan tanda sudah bersalin.. Betapa bersyukurnya saya ketika itu, betapa gembiranya saya, betapa kagumnya saya dengan isteri.. hanya Allah yang tahu.. Perasaan gembira kali ini membuatkan saya menistiskan airmata untuk kali ke dua.. Saya bertanya kepada juruawat di kaunter tersebut dan diberitahu bahawa isteri saya sudah bersalin dan saya diminta untuk tunggu di luar dan merekan akan memberitahu khabarnya nanti.. Di ruang menunggu saya lalu sujud untuk mengucapkan syukur kepada Allah kerana memperkenankan doa saya dan rakan².. bergenang air mata mengenang segala dosa yang dilakukan.. Allah tetap memakbulkan permintaan saya..

Lebih kurang jam 10:00 pagi, kabar berita mengenai isteri saya masih tidak diketahui.. Kebetulan ada seorang jururawat(jururawat yang sama semasa saya tanya di kaunter tadi) keluar dari dewan bersalin dan saya bertanyakan keadaan isteri saya.. Apa jawapan jururawat tersebut??? "Oh, Encik nak tengok baby ke? baby dah lama dah siap." Mujurlah saya bertanya, kalau saya diam saja entah sampai isteri saya keluar baru saya dapat tahu beritanya. Padahal hanya isteri saya seorang sahaja yang ada di dalam dewan bersalin itu. Kemudian saya dipelawa masuk untuk bertemu dengan anak sulung saya. Saya pun mengambil wudhu untuk mengazankan dan iqamat di telinganya. Itulah detik pertemuan pertama dengan anak saya. Subahanallah, sebaik² ciptaan Allah.. Saya meminta bantuan jururawat untuk mengangkat anak saya itu, dan beliau menyerahkan kepada saya. Setelah berada di atas tangan, saya menghadap kiblat dan mendekatkan bayi itu dengan muka saya lalu saya memberi salam kepadanya sebagai ucapan pertemuan pertama dan selamat datang ke muka bumi. Sebaik saya memberi salam dia membuka kedua belah matanya dan merenung wajah saya sambil saya mula mengazankannya, qamat, membaca surah al qadr dan al iklas dalam keadaan yang sebak.. Apa yang saya faham, seolah² anak saya cuba berinteraksi dengan saya apabila dia membuka matanya dengan ucapan salam pertama dari saya..

Setengah jam kemuadian isteri saya dibawa keluar dari dewan bersalin dan dimasukkan ke WAD 10. 

Ini adalah secebis kisah pengalaman yang paling berharga dalam hidup saya. Pengorbanan seorang isteri yang mengandung untuk tempoh masa yang panjang dan kemudian terpaksa berjuang dengan mempertaruhkan nyawa untuk melahirkan kandungannya. Saya begitu kagum dengan semangat dan pengorbanan yang ditunjukkan olehnya. Sekalung penghargaan untuk isteri ku yang tercinta. Setelah saya lalui pengalaman ini barulah saya sedar betapa besarnya pengorbanan seorang ibu yang mengandung, melahirkan, menjaga dan mendidik kita hingga kita boleh berdiri diatas kaki sendiri. Sekalung lagi penghargaan untuk mak saya yang  tersayang.

Biodata anak
Nama : Hani Zuyyin Binti Mohd Imran
Tarikh lahir : 13 Mac 2010
Tempat lahir : Hospital Seberang Jaya, P.Pinang
Waktu lahir : 7.39 a.m
Berat : 3.09 kg

Banyak lagi gambar² Hani Zuyyin di dalam facebook saya..

0 komen for this post

Post a Comment